TUN Juhar memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Ke-64. FOTO Mohd Adam Arinin
TUN Juhar memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Ke-64. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Nazllie Zainul

EMPAT RIBU peserta daripada 85 kontinjen mengambil bahagian dalam acara perbarisan sempena Hari Jadi Rasmi Ke-64 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, hari ini.

Acara perbarisan bermula 7.30 pagi membabitkan penyertaan daripada pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sektor awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar.

Acara bermula dengan Yang di-Pertua Negeri menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama, disusuli Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sebelum tembakan meriam 17 das.

Juhar kemudian memeriksa perbarisan pasukan kontinjen yang mengambil bahagian dengan diiringi Panglima Markas Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat.

Turut diadakan persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Hadir sama, isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; serta dua Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin.

Selain itu, Menteri Luar Bandar Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah 2017, Datuk Seri Radin Malleh serta menteri Kabinet kerajaan Sabah dan Persekutuan turut hadir.

Selepas acara perbarisan, berlangsung majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran di Istana Negeri dan Majlis Makan Malam oleh kerajaan negeri di dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, malam ini.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah Pameran Dirgahayu Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Oktober di Muzium Negeri, Jamuan Teh bersama Anak-anak Istimewa dan Yatim pada 19 Oktober serta Pameran Karier Pilihan pada 20 Oktober.

Turut diadakan ialah Kejohanan Golf Kenamaan di Dalit Bay Golf and Country Club, Pantai Dalit di Tuaran pada 21 Oktober, Kejohanan Berbasikal di Beaufort pada 22 Oktober dan acara kemuncak Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah pada 31 Oktober di Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 10:03 AM