FOONG Hin ketika membuat tinjauan harga beras putih import di sekitar Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Yun Mikail
FOONG Hin ketika membuat tinjauan harga beras putih import di sekitar Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kota Kinabalu merangkap Ketua Biro Dasar DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin menyatakan beliau bersedia menerima segala keputusan pucuk pimpinan parti berikutan tindakannya menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan Sabah hari ini.

Foong Hin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.

Beliau berkata, sukar baginya menolak pemberian pingat terbabit berikutan ia dianugerahkan oleh kerajaan negeri.

"Saya memang menyedari sepenuhnya polisi parti tidak membenarkan semua ahlinya menerima sebarang darjah kebesaran dan polisi itu tidak berubah sejak tahun 2018.

"Ahli hanya dibenarkan menerima penganugerahan pingat selepas bersara daripada parti DAP.

"Bagaimanapun, saya sukar menolak penganugerahan ini kerana ia diberikan oleh kerajaan negeri dan saya sendiri berasal dari Sabah.

"Oleh itu, saya sudah bersedia dengan sebarang keputusan yang bakal diambil pucuk pimpinan parti ke atas diri saya," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan lapangan harga beras putih import terkini di sekitar Kota Kinabalu, dekat sini, hari ini.

Selain Foong Hin, seorang lagi pemimpin DAP yang menerima darjah kebesaran sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Terdahulu, seramai 88 individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah berkenaan.

Antara penerima lain ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 5:51 PM