ABDUL Taib memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kelahiran beliau Ke-84. FOTO Bernama
ABDUL Taib memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kelahiran beliau Ke-84. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Petra Jaya: Hari jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, yang ke-84 disambut dengan penuh istiadat di Dataran Perbarisan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. hari ini, meskipun prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Sambutan dimulakan dengan 17 das tembakan meriam oleh Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan lintas terbang oleh empat helikopter sebagai menyambut ketibaan Abdul Taib dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zakaria Yadi.

Selepas nyanyian lagu 'Ibu Pertiwiku' dimainkan, Abdul Taib kemudian memeriksa Kawalan Kehormat Utama oleh 103 anggota lain-lain pangkat dan tiga pegawai dari Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai oleh Mejar Mohd Safiq Jamaluddin.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan simbolik sambutan perayaan hari lahir ketua negeri itu oleh penari dari Kampung Budaya Sarawak dan penari dari Dance Academy.

Selesai acara di dataran itu, sambutan diteruskan dengan Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat dan Pangkat Negeri oleh Abdul Taib di Dewan Lapau DUN Sarawak.

Mengetuai senarai 1,194 penerima pingat dan darjah kebesaran ialah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong yang dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran 'Datuk Amar'.

Turut dianugerahkan darjah sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi pula dianugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Turut menerima anugerah sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Ambrose Blikau Enturan.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Rosey Yunus dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabuddin Omar pula menerima darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Menteri Kanan Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan pula dianugerahkan PGBK (Kehormat) yang turut membawa gelaran 'Datuk'.

Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran 'Datu' pula dianugerahkan kepada Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, Datuk Dr Chai Khin Chung; Pengarah Unit Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Ismail Mohamad Hanis dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Buckland Bangik.

Turut menerima DJBS, Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak, Ronnie Edward; Pengurus besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Rodziah Morshidi dan Hakim Awang Suhaili@Suhaidi Ledi.

Sementara itu, 19 lagi menerima darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran 'Datuk.'

Mereka ialah Westmoreland Edward Palon, Chai Moi Fong, Dr Jamilah Hashim, Ahmadi Yusoff, Sim Kiang Chiok, Azizi Morni, Dr Madeline Berma, Ahmad Shafiee Yaman, Tan Guek Kee, Tan Joo Phoi, Datin Amar Doreen Mayang, Puan Sri Corrine Bua Nyipa, Dr Philip Raja, Micheal Sim Kiam Hui, Keripin Nangkai, Temenggong Ang Keng Su, Bobby Ting Sie Ching, Pengiran Jawa Pengiran Amzah dan Ting Choon Hua.

Naib Canselor dan Presiden Swinburne University, Australia, Professor Linda Kristjanson pula dianugerahkan darjah PSBS (Kehormat) yang turut membawa gelaran 'Datuk.'


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 7:47 PM