NAJIB   bersama penerima anugerah pada Majlis Penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera Syarikat Berkaitan Kerajaan, semalam.
NAJIB bersama penerima anugerah pada Majlis Penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera Syarikat Berkaitan Kerajaan, semalam.
Idris Musa

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, konsep untuk membangunkan Bumiputera mesti dilihat dari sudut, dimensi dan perspektif yang lebih luas.

Menurutnya, hal ini termasuk melahirkan usahawan baru, membangunkan modal insan dan intelektual dalam kalangan Bumiputera, mengukuhkan rantaian bekalan yang boleh dikuasai syarikat Bumiputera dan soal lain membabitkan definisi kekayaan.

“Saya (juga) telah mencadangkan dasar pemerkasaan Bumiputera diganti dengan Dasar Kesejahteraan Bumiputera. Dasar Kesejahteraan Bumiputera itu lebih meluas, mencakupi dimensi yang saya sebutkan yang lebih bermakna.

“Saya juga ingin menyatakan sejak dasar ini (Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera) dilaksanakan (sejak September 2013), kita lihat inisiatif di bawah pemerkasaan ekonomi Bumiputera setakat Ogos 2017 sejumlah RM114 bilion berjaya dijana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), semalam.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) Datuk Seri Shazalli Ramly.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 17 vendor daripada GLC terbaik seperti dari Affin Bank, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TM.

Najib berkata, 10 syarikat daripada 20 GLC terbaik atau G20 telah melaksanakan program pembangunan vendor dengan jumlah 1,375 vendor setakat Disember 2016 yang kini bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam mengukuhkan rangka kerja program untuk menghasilkan juara kebangsaan, serantau dan global.

“Pada 2016, syarikat GLC berjaya menghasilkan lapan vendor yang diiktiraf sebagai juara nasional dan satu vendor yang diiktiraf sebagai juara serantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 4:37 AM