Kuala Lumpur: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diakui menjadi pemangkin utama dalam memacu kemajuan dan pembangunan ekonomi Malaysia serta Bumiputera, namun peranan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan daripada semua pihak.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar berkata, GLC memang dianggap sebagai prasyarat wajib untuk sesebuah negara mencapai pembangunan ekonomi lebih baik, namun ia masih tidak mencukupi dalam memartabatkan bangsa, negara dan agama.

Menurutnya, sehingga kini semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjaya mencapai kejayaan memberangsangkan, namun ia dilihat masih boleh dipertingkatkan ke tahap lebih positif.

“Setiap bahagian atau pihak memiliki tugasan penting dan saling bergantung antara satu sama lain. Oleh itu, kita semua perlu bersatu bagi memastikan GLC mampu meningkatkan ekonomi Malaysia dan Bumiputera,” katanya pada Siri Wacana Fikrah Ummah ke 10 Agenda Pemerkasaan Bumiputera: GLC Pemangkin Ekonomi Negara di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, GLIC dan GLC sentiasa melakukan kajian dan pembangunan mengenai industri atau bidang baru yang berpotensi untuk diterokai serta komited dalam membangunkan ekonomi negara dan kaum Bumiputera.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk memperjuangkan ekonomi Bumiputera dan negara namun berharap akan lebih banyak pihak tampil untuk memberi pandangan dan pendapat bersama kami demi kemajuan negara,” katanya.

Sehingga kini, kerajaan melalui Jawatankuasa Putrajaya Untuk GLC Berprestasi Tinggi memiliki lima GLIC dan 20 syarikat GLC di mana ia berjaya membayar dividen sebanyak RM93 bilion sejak 2004 hingga tahun lalu dan cukai RM57 bilion.

Antara 20 syarikat GLC negara adalah Affin Holdings, Maybank, Boustead, Sime Darby, Lembaga Tabung Haji, CIMB, Malaysia Airport, Telekom Malaysia (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malaysia Buildings Society Berhad (MBSB).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:02 AM