Pemain skuad Kedah dan pengurusan Texas Chicken bergambar dengan anak yatim dari Pusat Jagaan Darul Aitam Walmasakin, hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Pemain skuad Kedah dan pengurusan Texas Chicken bergambar dengan anak yatim dari Pusat Jagaan Darul Aitam Walmasakin, hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman

EMPAT puluh anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dari dua rumah kebajikan ceria apabila diraikan pemain serta pengurusan skuad Kedah di restoran makanan segera Texas Chicken di Alor Setar, hari ini.

Ketua Bahagian Operasi Texas Chicken Malaysia Rusaidi Rejab berkata, majlis ramah mesra julung kali sempena Hari Raya Aidiladha itu bagi meraikan kanak-kanak daripada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia dan Pusat Jagaan Darul Aitam Walmasakin.

"Selain menjamu selera dengan hidangan ayam goreng, biskut madu dan kentang putar, Texas Chicken turut menyerahkan sumbangan masing-masing RM2,000 untuk dua rumah kebajikan itu, manakala setiap kanak-kanak menerima beg sekolah dan duit raya.

"Ini adalah hari menggembirakan buat kami kerana berjaya mengukirkan senyuman di wajah kanak-kanak itu berikutan mereka berpeluang bertemu dengan bintang bola sepak Kedah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hussairie Othman, 15, dari Pusat Jagaan Darul Aitam Walmasakin yang meminati pemain tengah Liridon Krasniqi berkata, dia teruja dapat berjumpa dan makan bersama pemain bola sepak idolanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu, berkata peluang berkenaan menjadi kenangan manis buat dirinya kerana tidak menyangka impiannya menjadi kenyataan.

Antara pemain skuad Hijau Kuning yang hadir ialah empat tonggak import iaitu Liridon Krasniqi, Ken Ilso Larsen, Sandro Da Silva dan Zac Anderson.

Pemain tempatan pula ialah Syawal Nordin, Farhan Roslan, Abdul Hadi Hamid dan Ifwat Akmal dan Amirul Hisyam Awang Kecik.

Turut hadir, Ketua Jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff dan Penolong Jurulatih Azzmi Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 5:58 PM