LIMA anak yatim yang menyanyikan lagu dalam album nasyid.
LIMA anak yatim yang menyanyikan lagu dalam album nasyid.

“Pada mulanya saya ingin mengeluarkan air ruqyah bagi mengumpul dana pembinaan Asrama Rumah Anak Yatim/Miskin Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam. Tetapi disebabkan sudah ramai berbuat demikian, saya terfikir untuk mengeluarkan album nasyid nyanyian kanak-kanak berkenaan,” kata pengasas rumah perlindungan itu, Mohamad Rosli Yahya, 42.

Hasil kerjasama dengan komposer Sham Malau, 48, sebuah album nasyid berjaya dihasilkan dan kini dalam proses untuk dilancarkan.

Sementara itu, Sham Malau berkata, beliau sudah lama mengenali Mohamad Rosli tetapi sudah empat tahun tidak bertemu.

“Suatu hari beliau menelefon memberitahu cadangannya untuk menghasilkan album nasyid membabitkan kanak-kanak berkenaan.

“Saya fikir, cadangan itu baik lalu usahakan buat lagu dan pilih lima kanak-kanak untuk menyertai nasyid. Disebabkan biasa mengaji berlagu, mereka mudah dilatih, cuma perlu dibetulkan serba sedikit dari segi vokal,” katanya yang menyediakan tujuh lagu nasyid dan sebuah lagu bonus, nyanyian beliau sendiri berjudul Silaturrahim.

Album Kumpulan Sinar Kasih Darul Aitam bertajuk Indahnya Ciptaan Tuhan terbitan Diary Entertainmet itu mengandungi lagu Doa Makan, Anak Sinar Kasih Darul Aitam, Jangan Kita Lupa, Kebesaran Ilahi, Amanah Tuhan, Doa Tidur dan Jalan Pulang.

“Saya sengaja selitkan satu lagu nyanyian saya sendiri berjudul Silaturahim dalam album itu kerana tajuknya sesuai dengan tema nasyid,” katanya.

Sham merancang mengadakan empat konsert sempena majlis pelancaran album nasyid berkenaan iaitu di Kedah, Kuala Lumpur, Sabah dan Terengganu. Persembahan pertama dijadual pada 21 Oktober ini di Hotel Seri Malaysia, Kulim pada jam 8.45 malam.

Pelancaran di Kuala Lumpur dijadual pada November sementara di Sabah dan Terengganu akan ditetapkan kemudian.

Persembahan itu dikenakan tiket berharga RM20 untuk mengumpul dana pembinaan asrama anak yatim/miskin berkenaan.

Selain nyanyian daripada Kumpulan Nasyid Sinar Kasih Darul Aitam, majlis pelancaran di Kulim turut menampilkan empat artis jemputan iaitu Yabang (Khalifah) Wan Adreaw, Mizi To Cai dari program BMB dan Aziee (DJ Mutiara FM).

“Besar harapan saya agar program ini mendapat sokongan dan saya sasarkan penjualan album itu dapat digunakan untuk pembinaan Rumah Anak Yatim/Miskin Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 5:05 AM