Ibrahim Isa


MAYAT lelaki dipercayai anak kapal USS John S McCain diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat, hari ini.

Mayat itu ditemui semalam oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira 7 batu nautika dari lokasi kapal itu berlanggar dengan kapal dagang MT Alnic MC.

Mayat berbaju kemeja dan berseluar pendek yang ditemui KD Handalan pada 3.45 petang semalam, diserahkan di Pusat Operasi Ops Carilamat di KD Lekiu kira-kira 9 pagi sebelum dibawa ke Singapura dipercayai untuk tujuan ujian DNA.

Difahamkan, mayat dalam keadaan sempurna kecuali muka yang hancur hingga menyukarkan pengecaman.

Selain itu, mayat berkenaan ditemui tanpa rantai pengenalan diri, dipercayai disebabkan mangsa berehat di bilik tidur ketika kejadian.

Sementara itu, pada 11.30 pagi tadi, jurugambar Harian Metro, Mohd Azren Jamaludin dan jurukamera TV3, Idros Rahmat menyertai operasi Carilamat dengan menaiki helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia.

Mereka berlepas dari pangkalan Kapal Diraja Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor, dipandu Komander Hairul Afikin Tukimin dibantu Pegawai Taktikal, Leftenan Komander Suhairi Mohamad serta pegawai waran 1, Noorfadli Ariffin.

Operasi dari udara selama lebih dua jam itu membabitkan kawasan pencarian di sektor B, C, D, E dan F berhampiran sempadan Singapura.

Dalam kejadian 5.40 pagi di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi, kelmarin USS John S McCain berlanggar dengan Alnic MC yang didaftarkan di Liberia.

Lima kru USS John S McCain cedera dan 10 lagi dilaporkan hilang.

Semalam, pasukan SAR turut menemukan mayat dalam kapal USS John S McCain.

Berita berkaitan:

Kawasan pencarian diperluas

KD Handalan jumpa mayat juga

Jumpa mayat dalam USS John S McCain

Kawasan pencarian diperluaskan

10 anak kapal USS John S McCain hilang

Insiden kedua kapal USS berlanggar

TLDM, APMM bantu cari kelasi

4 sektor pencarian

Tiada tumpahan minyak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 1:28 PM
MAYAT lelaki dipercayai anak kapal USS John S McCain diserahkan kepada tentera laut Amerika Syarikat. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MAYAT lelaki dipercayai anak kapal USS John S McCain diserahkan kepada tentera laut Amerika Syarikat. FOTO Mohd Azren Jamaludin