Zakaria Othman (kanan sekali) menyampaikan hadiah kepada wakil amil. FOTO Aizat Sharif
Zakaria Othman (kanan sekali) menyampaikan hadiah kepada wakil amil. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) melantik pembantu amil pada tahun depan sebagai usaha mengesan asnaf dan golongan miskin tegar di 565 kariah masjid di seluruh negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, ia dilaksanakan sebagai langkah penambahbaikan lembaga zakat negeri dalam mengatasi keciciran asnaf yang layak untuk menerima agihan zakat.

"Pembantu amil ini adalah terdiri daripada sukarelawan yang dekat dengan masyarakat di kariah mereka dan ini dapat membantu kita dalam segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan zakat," katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Amil Zakat Fitrah Tahun 2017 di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPDA), Jitra, hari ini.

Beliau berkata, selain daripada membantu amil dalam pengurusan zakat, pembantu amil itu juga akan menguruskan semua bentuk bantuan atau agihan membabitkan LZNK.

“Segala urusan zakat membabitkan warga atau penduduk di sesuatu kariah seperti pengambilan borang agihan zakat dapat diselesaikan menerusi pembantu amil dan daripada situlah, asnaf yang layak menerima agihan dapat dikenal pasti dengan tepat," katanya.

Beliau berkata, isu yang timbul ialah ada kalanya agihan zakat tidak dapat diberikan kepada asnaf yang layak kerana tiada permohonan daripada mereka.

"Di Kedah, daerah yang mempunyai kawasan kampung terpencil seperti Baling dan Sik memerlukan asnaf itu untuk pergi ke pejabat lembaga zakat daerah jauh dari rumah mereka.

"Permasalahan itu menyebabkan mereka tidak mampu dan tidak mahu untuk membuat permohonan zakat.

"Ada juga kes asnaf yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka menyangka tidak boleh atau tidak perlu lagi memohon bantuan atau agihan zakat walhal mereka layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:01 PM