Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar  menunjukkan kadar jumlah zakat sebanyak RM7. FOTO RAFIQAH DAHALI
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar menunjukkan kadar jumlah zakat sebanyak RM7. FOTO RAFIQAH DAHALI
Oleh Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mengumumkan kadar zakat fitrah RM7 dikenakan bagi tahun ini di Sabah.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, kadar zakat ditentukan berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di Sabah.

Beliau berkata, Muis telah melantik 39 penyelaras amil dan 2,000 amil untuk menyelaras serta memungut zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

Mengulas mengenai kadar kutipan zakat pada tahun lalu, Bungsu berkata, jumlah keseluruhan yang diperoleh berjumlah RM122,495,859.55 membabitkan 1,537,130 pembayar zakat.

"Ia peningkatan 63,565 pembayar zakat atau 4.3 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 1,473,565 pembayar zakat.

"Bagi zakat fitrah, jumlah keseluruhan yang diperoleh adalah RM10,761,541.82 manakala bagi zakat harta pula, ia berjumlah

RM111,734,317.73," katanya.

Di bawah zakat harta, antara jenis zakat yang diperoleh ialah zakat pendapatan, penggajian, simpanan, perniagaan, emas atau perak, saham, pertanian dan ternakan membabitkan 89,785 pembayar zakat.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah di Wisma Muis di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Saifulzaman Sangul.

Dalam pada itu, Bungsu berkata, Muis memperuntukkan RM15 juta untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di Sabah sepanjang Ramadan ini.

"Sebanyak RM13.5 juta akan diagih untuk asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi menggembirakan hati mereka dan sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai jumlah agihan zakat mengikut kategori asnaf pada 2021, Bungsu berkata, RM93,299,658.54 diagihkan untuk 82,541 penerima.

"Antara golongan asnaf yang menerima agihan zakat pada tahun lalu adalah fakir, miskin, mualaf, amil, Al-Riqab, Al-Gharimin, Ibnu Sabil dan Fisabilillah.

"Bagi tahun ini pula, kita merekodkan jumlah keseluruhan penerima asnaf fakir, miskin, mualaf dan amil fitrah seramai 54,000 orang.

"Golongan asnaf fakir adalah 10,000 orang, asnaf miskin 40,000 orang, asnaf mualaf 2,000 orang manakala asnaf amil fitrah pula 2,000 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 4:17 PM