PENERIMA bantuan zakat, Mohd Supir Ibrahim (tengah) menerima kunjungan Hussin (kiri).
PENERIMA bantuan zakat, Mohd Supir Ibrahim (tengah) menerima kunjungan Hussin (kiri).
PENERIMA bantuan zakat, Mohd Supir Ibrahim (kanan) menunjukkan perkakasan membuat baulu gulung yang diterima menerusi skim bantuan modal LZS kepada Hussin.
PENERIMA bantuan zakat, Mohd Supir Ibrahim (kanan) menunjukkan perkakasan membuat baulu gulung yang diterima menerusi skim bantuan modal LZS kepada Hussin.
Rosyahaida Abdullah


Ada yang ditambah, ada yang dikurangkan atau dihentikan terus. Itulah yang dilakukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada penerima zakat di negeri itu setiap enam bulan sekali.

Program ‘Task Force’ itu dilakukan bagi memastikan semua zakat yang disalurkan kepada golongan asnaf bertepatan dengan keperluan si penerima.

Sebanyak 15,789 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor disemak semula menerusi program itu.

Hasil bantuan penolong amil qariah dan ketua kampung, semua sembilan daerah Lembaga Zakat Selangor (LZS) di seluruh negeri itu ‘diterjah’ untuk proses bancian semula penerima zakat diketuai Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

Menurut Hussin, program turun padang itu dilakukan setiap enam bulan dan perubahan taraf hidup keluarga penerima bantuan dikemas kini manakala profil mereka dilengkapkan untuk tindakan susulan.

“Dalam tempoh enam bulan, apa saja boleh berlaku. Ada penerima yang sudah mampu keluar daripada status asnaf dan ada pula yang memerlukan bantuan tambahan disebabkan ahli keluarga tiba-tiba sakit, anak masuk universiti dan sebagainya.

“Program seumpama ini membolehkan data terkini mereka diambil dan kami boleh tentukan bantuan serta anggaran jumlah peruntukan yang diperlukan mereka untuk agihan akan datang,” katanya.

Katanya, bermula akhir bulan lalu, pihak­nya memberi tumpuan kepada agihan bantuan persekolahan kepada kira-kira 40,000 murid membabitkan pendidikan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, katanya, data murid akan disuai padan untuk memastikan tiada percang­gahan latar belakang serta keciciran murid yang layak menerima bantuan.

“Kami anggarkan sejumlah RM27 juta diperlukan untuk tujuan ini meliputi bantuan beg, kasut, pakaian dan peralatan sekolah kepada keluarga asnaf di bawah LZS bagi sesi persekolahan 2017. Peruntukan ini tidak termasuk untuk pengajian tinggi.

“Apa yang penting, mereka perlu bersekolah. Di bawah divisyen pembangunan asnaf LZS, kami beri tumpuan kepada generasi kedua khususnya anak-anak asnaf dengan mengupayakan mereka untuk tidak terus berada dalam status kemiskinan.

“Ada yang kami kesan, pada kanak-kanak umur 10 tahun pun tidak pernah bersekolah. Jadi kami hantar dia ke sekolah. Kalaupun tidak sepintar murid lain, sekurang-kurangnya dia boleh membaca, menulis dan mengira. Paling penting, punya sahsiah diri yang tinggi,” katanya.

Katanya, tahun lalu, sebanyak 517 keluarga berjaya keluar daripada garis asnaf fakir dan miskin berbanding sasaran asal cuma 200 keluarga.

Daripada jumlah itu, 170 keluarga tidak lagi bergelar asnaf hasil bantuan modal LZS manakala selebihnya hasil kajian semula yang mendapati anak-anak penerima sudah bekerja, sekali gus taraf hidup mereka lebih baik dan tidak layak lagi menerima zakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:03 AM