KELUARGA  menuntut jenazah Moh Halmi di hospital untuk   disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Cermai, semalam.
KELUARGA menuntut jenazah Moh Halmi di hospital untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Cermai, semalam.
Mohd Sabran Md Sani


Kulai: Kemalangan ngeri membabitkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 26.9 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, semalam dipercayai akibat kegagalan mangsa mengawal jentera selepas cuba mengelak perlanggaran dengan kenderaan lain.

Berdasarkan siasatan, polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikal ketika mengelak kereta di hadapan di lorong kanan menghala ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Razak Md Said berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa Moh Halmi Haroon, 53, dipercayai melanggar belakang kereta di lorong laju.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak ke lorong sebelah kiri jalan sebelum dipercayai digilis beberapa kenderaan yang tidak dikenal pasti menyebabkan sebahagian tubuhnya hancur.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Mohd Syazwan, 28, berkata, dia mengetahui kejadian selepas menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada kenalan bapanya selain melalui kerani di pejabat.

Menurutnya, dia juga mengenali mangsa kemalangan adalah bapanya selepas melihat MyKad milik arwah yang ditularkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:26 AM