KEADAAN motosikal Honda Wave dinaiki  Muhammad Zulfakar Zainal Abidin, 22, selepas terbabit dalam kemalangan bersama adik perempuannya, Nurfatin Atikah Zainal Abidin, 19, di Kilometer 27.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) Kulai. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN motosikal Honda Wave dinaiki Muhammad Zulfakar Zainal Abidin, 22, selepas terbabit dalam kemalangan bersama adik perempuannya, Nurfatin Atikah Zainal Abidin, 19, di Kilometer 27.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) Kulai. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Sabran Md Sani


DUA beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum dilanggar kereta dalam kejadian di Kilometer 27.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, Kulai, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian 6.10 pagi itu, penunggang Honda Wave, Muhammad Zulfakar Zainal Abidin, 22, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), manakala pembonceng yang juga adik perempuannya, Nurfatin Atikah Zainal Abidin, 19, meninggal dunia di tempat kejadian apabila ditempuh kereta.

Menurutnya, dua beradik berkenaan beralamat terakhir di Parit Bachok, Benut.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki dua beradik itu dari arah utara ke selatan dan apabila tiba di tempat kejadian motosikal berkenaan hilang kawalan.

"Honda Wave berkenaan terbabas dan melanggar besi tengah pembahagi jalan menyebabkan penunggang terpelanting masuk ke dalam longkang antara besi tengah pembahagi jalan, manakala adik perempuannya terjatuh di atas jalan.

"Malangnya, ketika kejadian berlaku, satu Honda Civic tiba di lokasi dan gagal mengelak menyebabkannya melanggar mangsa perempuan itu sebelum kenderaannya terbabas dan merempuh besi tengah pembahagi jalan.

"Mangsa iaitu pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal meninggal dunia di HTSMTI," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik dan persekitaran gelap berlampu, jalan kering serta jalan lurus dua hala.

"Setiap hala mempunyai dua lorong serta satu lorong kecemasan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 5:25 PM