KEADAAN van yang dihanyutkan arus deras sungai di Kampung Lingan Lama, Kabang, Papar, semalam. FOTO Edmund Samunting
KEADAAN van yang dihanyutkan arus deras sungai di Kampung Lingan Lama, Kabang, Papar, semalam. FOTO Edmund Samunting
Mohd Ruzaini Zulkepli


WANITA warga Indonesia yang parah selepas van dinaiki bersama sembilan pelancong Jepun yang dihanyutkan arus deras sungai di Kampung Lingan Lama, Kabang, Papar, petang semalam, meninggal dunia 11 malam semalam di Hospital Papar, akibat kecederaan di paru-paru.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, mangsa yang berusia 34 tahun terdahulu parah dalam kejadian itu sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu.

"Mangsa yang juga seorang wanita warga Indonesia itu disahkan meninggal dunia di Hospital Papar akibat parah di bahagian paru-parunya.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa yang juga seorang aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdahulu bersama seramai 10 individu terdiri daripada pelancong warga Jepun dan pemandu van jenis Mitsubshi itu dikatakan dalam perjalanan pulang sebelum terbabit dalam dengan insiden berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, di sini, hari ini.

Ladamah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5 petang sebelum sepasukan anggota ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian itu membabitkan satu rombongan di mana tiga kenderaan iaitu dua van serta sebuah pacuan empat roda dikatakan melalui jalan yang dibina di sungai berkenaan.

"Sebaik sahaja van dinaiki mereka melalui kawasan itu, tidak semena-mena arus sungai dari hulu menjadi deras sebelum kenderaan dinaiki semua mangsa dihanyutkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis sudah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga pemandu kepada van terbabit untuk membantu siasatan kes.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sembilan mangsa warga Jepun yang berusia lingkungan 18 hingga 22 tahun yang terbabit dalam kejadian itu sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Papar hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:15 PM