KEJADIAN kemalangan maut di Papar hari ini. FOTO ihsan bomba
KEJADIAN kemalangan maut di Papar hari ini. FOTO ihsan bomba
Ardyhansah Amat dan Mohd Ruzaini Zulkepli


Papar: Seorang lagi mangsa parah yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Papar-Beaufort, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Papar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Abd Rakman berkata, Ibert Kinsui, 45, yang juga pemandu lori tiga tan maut selepas mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai empat orang.

"Sebelum ini, pemandu van Freddy Abbei, 20, dan dua penumpangnya Kasmawati Ibrahim, 47, serta Fatimah Haris, 30, disahkan meninggal dunia.

"Selain itu, dua lagi penumpang van berkenaan termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dilaporkan parah dan masih menerima rawatan di hospital," katanya.

Tambahnya kemalangan itu turut membabitkan dua kenderaan lain iaitu Toyota Land Cruiser dan Mitaubishi Pajero, masing-masing dipandu seorang lelaki dan seorang wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 4:33 PM