Muhaamad Hafis Nawawi


PEGAWAI polis berpangkat Inspektor yang ditahan hanya berseluar dalam di tandas wanita sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, Isnin lalu, kini dalam proses dibuang kerja kerana mempunyai rekod buruk membabitkan enam kesalahan lampau.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, pegawai berusia 32 tahun itu melakukan kesalahan menipu surat sijil sakit, tidak membuka kertas siasatan, mengambil dadah dan tidak hadir ke tempat kerja selama 90 hari.

Menurutnya, lelaki terbabit sebelum ini bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah namun disebabkan beberapa kesalahan dilakukannya, dia ditempatkan sementara di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Kedah.

"Suspek juga dalam proses dibuang kerja kerana kesalahan dilakukannya malah dalam kejadian dia masuk ke tandas wanita itu, dia berada dalam keadaan halusinasi dan doktor mengesahkan dia mempunyai masalah sakit mental," katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK Kedah, di sini, hari ini.

Portal berita Harian Metro Selasa lalu melaporkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan ketika berseluar dalam di tandas wanita di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar.

Penahanan pegawai itu dibuat berikutan maklumat yang tular di media sosial mengenai kelakuan pegawai polis yang sering memasuki tandas wanita di premis berkenaan akhir-akhir ini.

Tangkapan dibuat 12.30 tengah malam Isnin lalu, selepas polis menerima maklumat terdapat individu menimbulkan suasana tidak senang dalam kalangan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 12:13 PM