ZAKARIA (kanan) menunjukkan wang tunai serta barang yang dirampas daripada penculik.
ZAKARIA (kanan) menunjukkan wang tunai serta barang yang dirampas daripada penculik.
Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Enam penjenayah yang menculik seorang wanita dan anak perempuannya ditahan polis dalam serbuan di bandar raya ini dan Setapak, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian jam 7.30 malam pada 23 Disember lalu, wanita berusia 40-an dam anak perempuannya berusia 17 tahun dikatakan baru keluar daripada pusat beli-belah di bandar raya ini untuk ke tempat meletak kenderaan.

Ketika mangsa dalam perjalanan mengambil kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di pusat beli-belah itu, sekumpulan penjenayah menculik dan membawa masuk ke dalam MPV milik mangsa serta membawa mereka ke Kuala Lumpur.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata, suami mangsa yang juga ahli perniagaan berusia 50-an membuat laporan mengenai kehilangan isteri serta anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, pada 24 Disember lalu pada jam 2.24 pagi.

Beliau berkata, pengadu memberitahu isteri serta anaknya keluar rumah untuk ke pusat beli-belah di bandar raya ini pada 23 Disember lalu jam 7.30 malam.

“Bagaimanapun mangsa tidak pulang ke rumah menyebabkan suaminya membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka.

“Namun pada Khamis lalu jam 5 pagi, anak perempuan lelaki itu menghubungi ayahnya memberitahu mereka diculik dan dikurung di pangsapuri di Setapak, Kuala Lumpur dan meminta wang tebusan RM35,000.

“Penjenayah terbabit meminta wang tebusan sekiranya mahu isteri dan anaknya dibebaskan. Bagaimanapun tanpa pengetahuan polis, suami mangsa memasukkan wang tebusan itu ke dalam akaun bank salah seorang penjenayah terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, semalam.

Zakaria berkata, selepas suami mangsa membayar wang, penjenayah berkenaan membebaskan isteri serta anaknya dengan memandu bersama kedua-dua mangsa ke pusat beli-belah di bandar raya ini, Khamis lalu, jam 10.30 malam.

“Bertindak di atas maklumat mangsa, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kedah dibantu Pasukan Petugas Khas Menangani Jenayah Terancang (STAFOC) dan JSJ Bukit Aman menahan empat penjenayah termasuk wanita berusia antara 20 hingga 30-an di bandar raya ini, pada Sabtu lalu.

“Dengan tertangkapnya empat penjenayah itu, pihak polis menahan dua lagi suspek warga Indonesia berusia 27 dan 35 tahun di Setapak, semalam (kelmarin) kerana disyaki terbabit dalam kes penculikan kedua-dua mangsa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya merampas kereta Honda Prelude, 10 telefon bimbit, beberapa utas barangan kemas, jam, wang tunai lebih RM5,000, beberapa keping resit pengeluaran wang, pasport, kad bank, anak kunci, pakaian, kasut, komputer riba serta beg yang digunakan untuk menyimpan barang bukti.

“Siasatan mendapati seorang daripada enam penjenayah itu mempunyai rekod lampau iaitu kesalahan mencuri kenderaan yang dilaporkan hilang di Cheras, Kuala Lumpur pada 2013.

“Empat suspek direman sehingga Sabtu ini, manakala dua lagi suspek warga Indonesia direman sehingga Ahad ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:08 AM