Ibrahim Isa

POLIS Johor menahan lima remaja lelaki berusia 15 hingga 19 tahun kerana memukul seorang pelajar sekolah menengah di Taman Impian Emas, Ahad lalu, dalam beberapa siri tangkapan kurang 24 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, empat daripada lima remaja itu ditahan di negeri ini awal pagi selepas kejadian dan pada masa sama, seorang lagi suspek ditahan di Melaka.

Menurutnya, tiga daripada lima suspek kini ditahan reman sehingga 20 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Dua lagi suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

"Jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kami memandang serius kejadian ini dan tidak mahu kemasukan unsur-unsur gangsterisme di dalam sekolah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan Kira-kira jam 1 tengah hari, Ahad lalu, seorang pelajar tingkatan tiga berusia 16 tahun pecah bibir dan bengkak di dahi, pipi dan telinga kiri akibat ditumbuk dan ditendang empat remaja lain kerana enggan menyertai kumpulan kongsi gelap.

Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa mendapatkan 10 jahitan di bibir di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dan diberikan cuti selama dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 11:30 PM