Mangsa memegang laporan polis.
Mangsa memegang laporan polis.
Ibrahim Isa


PELAJAR tingkatan tiga pecah bibir bawah, bengkak dahi dan telinga kiri, pipi kiri serta pergelangan tangan kanan selepas dipukul empat remaja yang juga bekas pelajar sekolah menengah di Taman Impian Emas Johor Bahru, tengah hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Allan, 16, mendakwa diheret hampir 50 meter oleh empat remaja berkenaan sebelum dipukul kerana enggan menyertai kumpulan kongsi gelap Hup Woh Tong (Geng 550) walaupun diugut sejak Mac lalu.

Katanya, sejak Mac lalu, hidupnya tertekan kerana sering diganggu ahli kumpulan berkenaan yang masih berada di sekolah itu serta menerima ugutan di aplikasi WeChat.

"Saya tidak mengendahkan ugutan mereka kerana tidak mahu terjebak dengan perkara melanggar undang-undang, namun ada ahli yang masih bersekolah mengugut keselamatan saya.

"Malah, mereka berkata akan mengajar saya untuk dijadikan pengajaran supaya pelajar lain tidak akan mengingkari arahan mereka.

"Kira-kira jam 1 tengah hari tadi, saya bersama rakan-rakan menunggu bas sekolah sebelum tiba-tiba dihampiri lima remaja termasuk seorang pelajar menengah empat sekolah sama, sebelum diheret ke satu lorong di kawasan berhampiran," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, remaja lelaki berkenaan berkata lebih baik sertai mereka atau akan menggunakan cara lain untuk memastikannya menyertai kumpulan itu, sebelum tiga daripada mereka mula memukul saya disertai remaja yang bercakap dengannya itu.

"Saya ditumbuk beberapa kali hingga rebah dan ditendang hingga bibir bawah terkoyak dan berdarah, selain dahi serta telinga kiri bengkak.

"Selain itu, pipi kiri saya juga sakit dan pergelangan tangan kanan luka akibat perbuatan mereka.

"Selepas berpuas hati melihat saya terbaring dan baju berlumuran darah, mereka memberi amaran supaya saya menyertai kumpulan itu atau berdepan gangguan lain," dakwanya.

Menurutnya, dia ditemani ibu dan bapanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) untuk keselamatan diri dan berharap pihak berkuasa akan menangkap remaja berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis daerah JBU, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa suspek dan kini berusaha mengesan mereka bagi membantu siasatan," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 7:55 PM