Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung pergaduhan antara pelajar sekolah berasrama di Perlis, 5 Februari lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, perkara terbabit masih dalam siasatan pihaknya dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Setakat ini lima suspek disyaki terbabit namun kita tidak buat penahanan reman terhadap mereka, manakala tiga lagi suspek kini sedang bercuti selepas mendapat kebenaran pihak sekolah,” katanya.

Bagaimanapun dua daripada lima suspek yang juga pelajar sekolah terbabit dibebaskan dengan jaminan polis sejak hari pertama mereka ditahan.

“Kejadian dipercayai membabitkan pergaduhan antara tiga pelajar tingkatan lima bergaduh dengan dua pelajar masing-masing dari tingkatan dua dan tiga di sekolah terbabit sehingga mendatangkan kesan lebam di antara mereka.

“Setakat ini kejadian dipercayai berpunca daripada pelajar ‘junior’ yang tidak menghormati pelajar ‘senior’ di sekolah berkenaan sehingga terjadinya perselisihan faham,” katanya.

Beliau berkata, kes terbabit masih disiasat pihaknya dan beliau meminta agar pihak berkenaan tidak menularkan sebarang maklumat tidak sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 12:28 PM