Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa (dua kanan) bersama Taha menyampaikan pelekat dan cenderahati kepada pengguna jalan raya. - Foto ZAMAN HURI ISA
Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa (dua kanan) bersama Taha menyampaikan pelekat dan cenderahati kepada pengguna jalan raya. - Foto ZAMAN HURI ISA
Rosliza Mohamed


TIADA lagi kompaun sebaliknya pengguna jalan raya yang melakukan tujuh kesalahan utama sepanjang Op Selamat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aidilfitri di Kelantan, terus didakwa di mahkamah.

Tujuh kesalahan itu ialah memotong di garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu menggunakan telefon bimbit, memandu melebihi had laju, kenderaan berat dipandu di lorong kanan, memandu di lorong kecemasan dan melanggar lampu isyarat.

Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan tiada pengguna jalan raya memandu dalam keadaan membahayakan keselamatan orang ramai.

"Kita berhasrat tidak mengenakan kompaun sekiranya pengguna ditangkap lakukan kesalahan itu, sebaliknya terus membawa kes ke mahkamah.

"Penguatkuasaan dipergiatkan sepanjang tempoh operasi bermula Ahad hingga 2 Julai ini dan berharap semua pengguna mematuhi undang-undang," katanya ketika melancarkan Op Selamat JPJ, Hari Raya Aidilfitri bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri dan Hotel Perdana di sini, hari ini.

Mahasan berkata, anggota penguat kuasanya juga digerakkan secara bersepadu untuk mengawal lalu lintas dan melakukan penyamaran dalam bas ekspres.

Kerjasama turut diadakan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menyaring pemandu bas daripada pengaruh dadah.

"Bagi kesalahan lain, kita keluarkan kompaun RM300 bagi setiap kesalahan dan jumlahnya tidak boleh dikurangkan," katanya yang memberitahu kutipan kasar kompauan dalam operasi khas Aidilfitri tahun lalu, melebihi RM180,000.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Perdana Taha Zainal berkata, pembabitan pihaknya dalam program itu sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertemakan Perdana Prihatin.

Katanya, mereka peka dan prihatin dalam menyedarkan masyarakat setempat mengenai kepentingan memandu selamat di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 6:47 PM