Syamil Firdaus

Kuala Lumpur: Masih terdapat pengguna jalan raya yang berdegil menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan jalan raya walaupun pihak berkuasa memberi amaran keras terhadap kesalahan itu.

Dalam rakaman video pada 4.30 petang tadi, tujuh kenderaan termasuk lori didapati sengaja menggunakan lorong kecemasan di Kilometer 348.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ladang Bikam.

Ketika itu, jalan sesak dengan kenderaan berikutan musim cuti perayaan Aidilfitri.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron dalam kenyataan sebelum ini berkata, pemandu melakukan kesalahan menggunakan lorong kecemasan tidak akan dikenakan kompaun sebaliknya terus dihadapkan ke mahkamah.

Pemandu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda RM2,000, penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam laporan 4 Julai lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata akan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya untuk mengawasi lalu lintas sempena cuti Aidilfitri termasuk memantau kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan.

Jurucakapnya berkata, sekiranya terdapat kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, LLM akan memaklumkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mengambil tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 10:47 PM
PEMANDU menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas. FOTO Syamil Firdaus
PEMANDU menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas. FOTO Syamil Firdaus