Mohd Isa ketika sidang media di majlis sumbangan Ramadan FGV 2017 di Menara Felda. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Isa ketika sidang media di majlis sumbangan Ramadan FGV 2017 di Menara Felda. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sofyan Rizal Ishak


PENGERUSI Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menegaskan beliau tidak akan berjumpa dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemelut yang melanda syarikat konglomerat itu ketika ini.

Menurutnya, tiada keperluan untuk melakukan tindakan terbabit jika beliau tidak diminta untuk berbuat demikian oleh SPRM.

"Saya nak buat apa pergi SPRM, bukan boleh berjalan di sana," katanya pada media selepas majlis sumbangan Ramadan FGV 2017, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini SPRM belum menghubungi beliau bagi mendapatkan sebarang keterangan berkaitan perkara terbabit.

"Kami mengalukan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap FGV dan sedia untuk bekerjasama," katanya.

Dalam masa sama, seramai 30 pegawai SPRM hadir di Menara Felda kira-kira 10 pagi dipercayai bagi mendapatkan beberapa dokumen berhubung kemelut dan dakwaan salah laku di FGV.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat FGV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 4:46 PM