Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam anak syarikat FGV.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, SPRM sudah menerima maklumat berkaitan dakwaan berkenaan.

Katanya, maklumat yang diterima akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

“€œSPRM akan meneliti maklumat berkenaan dan akan mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM juga akan meminta Datuk Zakaria untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam tempoh terdekat bagi mendapat maklumat lanjut," katanya yang enggan mendedahkan maklumat yang diberi kepada SPRM.

Harian Metro hari ini melaporkan, Zakaria diminta bercuti serta-merta mulai pagi tadi selepas didakwa terbabit dalam salah laku urus niaga membabitkan anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products (DOP) dengan syarikat Safitex bagi isu tunggakan bayaran.

Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dipetik berkata, arahan bercuti serta-merta yang diberikan itu adalah untuk menjalankan siasatan dan bukan bersifat peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 6:12 PM