Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Bhd (FGV) menjangkakan keputusan panel siasatan dalaman berhubung isu berkaitan dengan hutang tertunggak Safitex Trading LLC dapat dimuktamadkan pada 14 Ogos ini.

Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, panel siasatan dalaman sudah dilantik dan akan dianggotai tiga panel bebas yang terdiri daripada individu dalam FGV.

Katanya, panel siasatan dalaman FGV akan memulakan prosidingnya terhadap empat individu penting dalam syarikat termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha bermula 24 Julai ini.

“Tiada sebarang konspirasi untuk menjatuhkan sesiapa dan siasatan ini akan dibuat secara telus dan adil. Malah, siasatan dalaman juga dianggotai panel bebas.

“Keputusan hanya akan dibuat selepas hasil siasatan diterima dan kita akan tentukan kedudukan mereka selepas selesai segala siasatan itu nanti,” katanya pada sidang media di majlis sambutan Aidilfitri, di sini, semalam.

Selain itu, beliau turut menafikan adanya campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu membabitkan FGV.

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia, baru-baru ini, berkata lembaga pengarah juga memutuskan untuk menghantar nota peringatan kepada Zakaria bagi mengingatkan beliau bahawa ketika bercuti, beliau masih kakitangan FGV dan terikat dengan kod tata laku dan etika perniagaan syarikat bagi kakitangan.

FGV berkata, semasa proses siasatan itu, lembaga tidak akan mengulas atau campur tangan berhubung perkara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 3:39 AM