PELARIAN Rohingya membina semula kediaman mereka yang dimusnahkan taufan Mora.
PELARIAN Rohingya membina semula kediaman mereka yang dimusnahkan taufan Mora.
PELARIAN Rohingya termenung mengenang nasib mereka.
PELARIAN Rohingya termenung mengenang nasib mereka.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Arakan dan Cox’s Bazar kritikal serta perlu bantuan segera. Dua pakej makanan untuk saudara Muslim sempena Ramadan dilancarkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga yang tinggal di kem penempatan di Rakhine, Myanmar dan Cox’s Bazar, Bangladesh yang menjadi mangsa taufan Mora.

Berdasarkan maklumat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana, keadaan ketika ini begitu mendesak kerana etnik Rohingya yang berada di kampung dan kem penempatan terputus bekalan makanan, selain tempat tinggal musnah akibat bencana.

Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ketika ini kehidupan di beberapa kem
di kedua-dua negara berkenaan tidak banyak berubah, malah bertambah teruk ekoran krisis yang melanda di daerah Maungdaw, Myanmar sejak 9 Oktober lalu.

Katanya, ia diburukkan lagi dengan taufan Mora yang melanda dan antara lokasi paling teruk adalah kem yang menempatkan 300,000 etnik Rohingya, menambahkan lagi kesengsaraan mereka.

“Kita baru saja melawat ke beberapa kem di Arakan dan Cox’s Bazar dan mendapati mereka begitu memerlukan bantuan masyarakat antarabangsa dari segi keperluan asas. Apatah lagi ketika berdepan bencana, sudah pasti keadaan bertambah buruk.

“MAPIM melancarkan Pakej Makanan Ramadan Selamatkan Rohingya dan memohon sumbangan RM100 (AS$23) untuk setiap pakej yang boleh dinikmati satu keluarga dan ia mencukupi untuk tempoh sebulan,” katanya kepada Harian Metro.

Justeru, katanya, sumbangan boleh diberikan menerusi akaun Bank Islam Rohingya Humanitarian Fund-MAPIM (02020010072272) dan Maybank Baitul Rahmah - MAPIM (552095224432).

MAPIM juga prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan di negara ini dan tampil dengan pakej Dhu’afa Care untuk membantu petani serta penoreh getah di beberapa kawasan.

“Untuk pakej ini, kita buka kepada orang ramai untuk memberikan sumbangan RM80 (AS$18) untuk kita beli barangan keperluan dan hantar kepada penerima,” katanya yang mengetuai delegasi MAPIM ke kawasan bencana pada 15 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 9:18 AM