FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan solat sunat tarawih dan Jumaat serta fardu hanya dibenarkan di 17 masjid bandar dan jajahan di Kelantan, susulan peningkatan kes Covid-19, berkuat kuasa mulai esok.

Masjid berkenaan adalah Masjid Muhammadi Kota Bharu; Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian; Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan; Masjid Sultan Muhammad II, Telipot; Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh; Masjid D'raja Long Yunus, Langgar dan Masjid Bandar As-Salam, Pengkalan Chepa.

Selain itu, Masjid Ismaili, Tumpat; Masjid Mahmoodi, Bachok; Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh; Masjid Sultan Yahya Petra, Machang; Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai dan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang.

Masjid lain adalah Masjid Sultan Muhammad 1, Jeli; Masjid Sultan Muhammad III, Pasir Mas; Masjid Ismail Petra, Tanah Merah dan Masjid Bandar An-Nur, Kuala Krai.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sehubungan itu, masjid mukim, surau dan musolla di seluruh negeri Kelantan ditutup sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Katanya, pelaksanaan solat Jumaat, fardu dan tarawih di masjid negeri, jajahan dan bandar adalah dibenarkan 50 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan fizikal.

"Aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak dibenarkan.

"Jemaah jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter. Bagi semua masjid mukim, surau dan musolla ditutup untuk semua aktiviti.

"Oleh itu, Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP itu.

"Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 8:28 PM