ANGGOTA bomba memotong pokok jambu air yang menghempap bumbung rumah. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memotong pokok jambu air yang menghempap bumbung rumah. FOTO ihsan bomba
Kamariah Samir dan Ayshah Mohamad Jamaludin


NENEK dan cucu nyaris maut apabila rumah di FELDA Jelai 3, Gemas, Tampin, dihempap pokok dalam kejadian hujan lebat dan ribut selama lebih sejam, semalam.

Rasiyah Ahad, 61, berkata, ketika kejadian dia dan cucunya Nor Farisyah Idayu Yusairi, 17, menutup suis peralatan elektrik sebelum terkejut mendengar dentuman kuat pada bumbung bahagian dapur rumah, kira-kira 6 petang.

"Pokok jambu air yang tumbang itu hampir mengenai kepala saya. Cucu yang kebetulan berada berhampiran turut menjerit. Saya bersyukur kami tidak cedera.

"Namun, kami tidak dapat menjamah juadah berbuka puasa kerana tercemar akibat kejadian itu. Bahagian dapur rumah rosak teruk dan kami mendapatkan bantuan bomba untuk memotong pokok besar itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Abdul Halim Yusof berkata, bomba menerima panggilan pada 8.06 pagi ini sebelum sebuah jentera dengan kekuatan 12 anggota ke lokasi.

Menurutnya, operasi memotong dan mengalihkan pokok dimulakan pada 8.45 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 3:29 PM