Pokok menghempap sebuah rumah. FOTO ihsan polis
Pokok menghempap sebuah rumah. FOTO ihsan polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Tampin: Sebuah rumah di Kampung Felda Bukit Jalor, di sini, rosak dihempap pokok tumbang petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, pihaknya menerima panggilan ketua kampung mengenai kejadian itu jam 6 petang.

Katanya, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang sebelum petir menyambar sebatang pokok bidara.

"Pokok bidara itu tumbang dan terkena pokok kelapa sebelum menghempap dapur rumah," katanya.

Beliau berkata, anggota polis dan bomba ke lokasi bagi memotong dan mengalihkan pokok terbabit.

“Tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 8:42 PM