Anggota bomba mengalihkan pokok tumbang di laluan Jalan Istana menghala ke Jalan Syed Putra di Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengalihkan pokok tumbang di laluan Jalan Istana menghala ke Jalan Syed Putra di Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tembok Muzium Istana Diraja dan dua kenderaan rosak selepas dihempap pokok tumbang di laluan Jalan Istana menghala ke Jalan Syed Putra di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 4.06 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur Omar Chekku berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati pokok tumbang berlaku dan menghempap Toyota Vellfire dan Honda BRV.

"Pokok tumbang itu menghalang jalan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di lokasi kejadian.

"Dua mangsa yang berada di dalam kenderaan masing-masing tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Omar berkata, bomba dibantu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudiannya melakukan kerja memotong, mengalihkan dan membersihkan pokok yang tumbang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 6:38 PM