Nurul Fadliyana Natasha bergambar bersama watak adiwira.
Nurul Fadliyana Natasha bergambar bersama watak adiwira.

Kuala Lumpur: “Setiap hari saya berdoa supaya Allah menyembuhkan penyakit dan saya dapat kembali ke sekolah untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Meskipun disahkan mengidap penyakit kanser saraf tahap empat, ia bukanlah halangan untuk saya belajar bersungguh-sungguh bagi menggapai cita-cita menjadi seorang pensyarah satu hari nanti,” demikian harapan Nurul Fadliyana Natasha Ahmad Daud, 17.

Anak sulung daripada tiga beradik itu pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Bernadette’s Convent, Batu Gajah, Perak yang kini terpaksa bercuti selama enam bulan untuk rawatan penyakitnya.

Nurul Fadliyana disahkan mengidap kanser saraf (neuroblastoma) pada umur enam tahun dan pada 2007, menjalani pembedahan bagi membuang tumor di bahagian luar buah pinggang kirinya.

Selepas menjalani rawatan intensif termasuk 17 kali radioterapi, dia disahkan sihat dan meneruskan persekolahan seperti biasa.

Namun, selepas 11 tahun berlalu, pada Disember lalu doktor mengesahkan kanser berkenaan kembali menyerang (tahap empat) dan kini ia sudah merebak ke bahagian abdomen.

Ia menyebabkan Nurul Fadliyana terpaksa meninggalkan seketika persekolahan bagi menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, dia memang merindui saat-saat gembira bersama rakan-rakan di sekolah namun apakan daya, tidak berpeluang menikmatinya tahun ini.

“Saya tetap berazam untuk mengambil peperiksaan SPM tahun ini dan tidak mahu menundanya ke tahun depan meskipun tidak berpeluang mengikuti pembelajaran tingkatan lima yang sempurna tahun ini.

“Untuk itu, setiap kali mempunyai masa terluang di rumah dan hospital saya akan mengulang kaji pelajaran yang tertinggal dengan bantuan rakan sekelas guru sekolah.

“Mujurlah, mereka memahami dan banyak membantu serta memberi sokongan sepanjang saya berada di hospital,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Menurut Nurul Fadliyana, ibunya Sopiah Abdul Latif yang bekerja sebagai pembantu klinik, terpaksa mengambil cuti tanpa rekod bagi menjaganya sepanjang mendapatkan rawatan di HKL.

Katanya, dia menyanjungi pengorbanan ibunya dan jika diberi peluang mahu membalas semua jasa berkenaan.

“Saya sekeluarga sedar mengenai risiko tinggi yang dihadapi jika penyakit itu berulang namun sebagai umat Islam, saya perlu reda dan menerima ujian berkenaan dengan hati terbuka.

“Allah tidak akan membebankan seseorang hamba-Nya itu dengan apa yang tidak mampu ditanggung dan dalam hal ini, saya mungkin terpilih untuk menjalani ujianNya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 2:48 PM