SYED Hishamudin (kiri) sedang berbual dengan Syed Ahmad Al-Fatih (tengah) yang menghidap leukemia sambil diperhatikan Syarifah Nor Adilah yang menghidap penyakit SLE. FOTO Rosman Shamsudin
SYED Hishamudin (kiri) sedang berbual dengan Syed Ahmad Al-Fatih (tengah) yang menghidap leukemia sambil diperhatikan Syarifah Nor Adilah yang menghidap penyakit SLE. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Trolak: Zahirnya kehidupan pasangan guru agama, Syed Hishamudin Syed Othman, 47, dan Wan Zuvaidah Wan Daud, 45, nampak normal namun pada hakikatnya hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.

Semuanya bermula sekitar tahun 2009, selepas suami yang ketika itu mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Jaya, Kuala Lumpur disahkan mengalami ketumbuhan dalam kepala.

Syed Hishamudin berkata, dia kemudiannya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan terbabit tiga tahun berikutnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kini, dia perlu menjalani pemeriksaan setahun sekali di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak selepas beberapa tahun menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan di HKL.

"Akibat daripada penyakit terbabit, keseimbangan badan saya terjejas, malah menjejaskan juga daya ingatan di mana sering terlupa dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan seharian.

"Saya reda apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai ujian daripada Tuhan," katanya.

Lebih menyedihkan, penghujung tahun 2021, dia sekali lagi diduga selepas anak bongsu daripada tujuh adik beradik, Syed Ahmad Al-Fatih pula, 9, disahkan mengidap kanser darah atau luekemia.

Penyakit terbabit dikesan selepas anak bongsu menjalani rawatan pada tulang pinggang akibat terjatuh di perkarangan sebuah masjid.

Dia yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminudin Baki, Slim River, Perak berkata, anak bongsunya kini tidak mampu berjalan dan perlukan bantuan untuk bergerak.

"Anak saya kini sedang menjalani rawatan kimo di Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM ( HPKK), Cheras, Kuala Lumpur.

Terdapat lima peringkat rawatan terbabit perlu dijalani dan kini sudah memasuki peringkat kedua," katanya.

Kemudian, pada hujung tahun lalu, anak ketiga, Syarifah Nor Adilah,18, yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula terpaksa melupakan peperiksaan terbabit.

Ini kerana selepas anak perempuannya itu disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Syed Hishamudin berkata, penyakit terbabit menyebabkan tangan anak perempuannya sukar untuk menggenggam dengan normal, malah badan mula membongkok dan cepat hilang tenaga serta mengalami keguguran rambut.

"Anak perempuan saya kini menjalani rawatan kimoterapi peringkat keempat di Hospital Slim River, Perak dan mula menunjukkan kesan yang positif.

"Walaupun seberat mana dugaan saya dan anak, sebagai ketua keluarga saya kena kuatkan semangat dan reda menerima ketentuan Tuhan ini.

"Di samping saya dan dua anak saya yang kini menjalani rawatan akibat penyakit masing-masing yang memerlukan kewangan, lima lagi anak lelaki saya yang kini ke semuanya sedang belajar di maahad tahfiz juga memerlukan perbelanjaan pendidikan," katanya.

Lima anak lelakinya yang berumur 12 hingga 21 tahun termasuk Syarifah Nor Adilah belajar di maahad tahfiz di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.

Dia yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dan Al-Quran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, demi keluarga tercinta dia rela dan reda dengan ujian sebagai hamba yang kerdil di sisi Tuhan.

Sementara itu, Syed Ahmad Al Fatih pula berkata, sudah tiga bulan tidak dapat menjalani persekolahan seperti rakan sekolah yang lain.

"Memang rindu hendak ke sekolah untuk belajar dan berjumpa dengan guru-guru dan kawan-kawan.

"Kawan hendak melawat saya pun buat masa ini tidak boleh lagi kerana saya masih menjalani rawatan kimo dan mahu tidak mahu duduklah di rumah sahaja," katanya.

Manakala, kakaknya, Syarifah Nor Adilah berkata, untuk mencapai cita-citanya bergelar guru agama, dia berazam menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.

Katanya, walaupun agak terlewat namun ia bukanlah halangan untuk dia mencipta kejayaan dalam kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 7:30 AM