AZNAN (kiri) menyampaikan hadiah kepada  Muhammad Asraf (dua dari kanan).
AZNAN (kiri) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Asraf (dua dari kanan).
Ardyhansah Amat


Kuala Lumpur: Seramai 158 guru dari 78 sekolah menengah sekitar ibu kota, menyertai pertandingan Global Zakat Game yang kali pertama dianjurkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, semalam.

Pengurus Besar Kewangan PPZ Wilayah Persekutuan Azhan Ismail berkata, ia satu tarikan terbaru pihaknya untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam berhubung pelaksanaan zakat di negara ini kepada orang ramai.

“Ia satu permainan interaktif dan agak berlainan berbanding kaedah (penyebaran maklumat) sedia ada.

“Bukan saja menarik, pertandingan ini juga dapat mencapai objektif utamanya untuk menyebarkan maklumat berkaitan zakat secara meluas kepada orang ramai,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Pertandingan Global Zakat Game 2017, semalam.

Azhan berkata, program yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan JPNWPKL itu menyasarkan penyertaan golongan guru dalam pelbagai bidang tanpa terhad kepada subjek Pendidikan Agama Islam.

“Kami berharap melalui program ini, guru dapat memahami konsep zakat seterusnya boleh menerangkan kepada pelajar di sekolah masing-masing.

“Apabila ilmu berkaitan dapat disampaikan secara berkesan kepada pelajar, mereka juga boleh memahami konsep dan kebaikan zakat dalam Islam, di peringkat awal, iaitu di bangku sekolah lagi,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Asraf Mazlan, 30, dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, dinobatkan sebagai pemenang sulung pertandingan dan berjaya membawa pulang baucar pelancongan bernilai RM4,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 2:11 AM