GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Putrajaya: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan pemberian Bantuan Zakat bagi meringankan beban golongan asnaf dan B40 yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan zakat menerusi Program MAIWP Prihatian–Kasih Asnaf 3.0 dengan peruntukan RM38.7 juta itu akan memberi manfaat kepada 75,210 penerima membabitkan pelbagai kelompok sasar di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, MAIWP memperuntukkan RM1 juta khusus buat 2,000 pengawal keselamatan menerusi Persatuan Industri Keselamatan Malaysia.

Katanya, pengawal keselamatan yang tersenarai akan menerima bantuan sebanyak RM500 seorang secara 'one-off'.

"Peruntukan ini adalah hasil diterima daripada pembayar zakat yang melakukan rukun Islam keempat di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP Wilayah Persekutuan. Terima kasih pembayar zakat," katanya melalui hantaran di akaun Facebooknya, hari ini.

Simbolik penyerahan sumbangan disampaikan Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar kepada Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Datuk Seri Ramli Yusof disaksikan Zulkifli di Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohd Daud mengumumkan inisiatif bawah Program MAIWP Prihatin-Kasih Asnaf 3.0 membabitkan sumbangan kewangan RM500 kepada kira-kira 3,500 pemandu teksi dengan peruntukan RM1.75 juta yang akan disalurkan melalui Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia.

Sumbangan juga disalurkan kepada 4,010 orang kurang upaya (OKU) yang menerima sumbangan RM500 seorang membabitkan peruntukan RM2 juta, manakala 2,400 pengusaha atau pekerja kantin sekolah turut menerima RM500 yang akan disalurkan melalui kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Selain itu, seramai 800 pemandu pengusaha bas dan van sekolah turut menerima sumbangan RM500 dengan peruntukan sebanyak RM400,000 yang disalurkan melalui akaun Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor.

Turut menerima sumbangan, 5,000 peniaga pasar malam yang menerima RM500 seorang menerusi peruntukan RM2.5 juta, disalurkan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan pelarasan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 10:17 AM