Ahmad Shukri Yusoff.
Ahmad Shukri Yusoff.
Suraya Roslan


PANDEMIK Covid-19 menyaksikan seramai 20,348 rakyat di Wilayah Persekutuan menjadi 'asnaf segera' sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.

Angka itu membabitkan RM10.05 juta nilai bantuan kecemasan Covid-19 yang disalurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sehingga 10 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, peningkatan mendadak 'asnaf segera' sebanyak 15 hingga 18 peratus itu kebanyakan membabitkan individu yang kehilangan pekerjaan.

"Bagaimanapun, kenaikan ini mungkin bersifat sementara, mungkin ketika itu (PKP) dia kehilangan punca pendapatan dan mereka memerlukan proses yang lama untuk mencari kerja semula," katanya dalam sidang media Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) di Wisma PPZ, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pereka fesyen duo terkenal, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil yang melakukan pembayaran zakat menerusi skim itu sejak 2017.

Ahmad Shukri berkata, berikutan peningkatan mendadak asnaf segera menyebabkan pihaknya melakukan inisiatif Skim PZB bermula Ogos hingga November depan supaya lebih ramai kakitangan swasta dan kerajaan tampil untuk menunaikan zakat pendapatan secara potongan gaji.

"Kempen ini juga bertujuan menggalakkan pembayar sedia ada untuk menambah jumlah bayaran zakat mereka.

"Setakat ini, 70 peratus kakitangan awam dan swasta di Wilayah Persekutuan masih belum membuat potongan gaji.

"Bagaimanapun, peratusan ini bukan bermakna mereka tidak bayar zakat tetapi hanya tidak melakukan potongan gaji dan membayar secara manual," katanya.

Menurutnya, walaupun pandemik Covid-19 menyebabkan ramai terjejas namun pungutan zakat di Wilayah Persekutuan menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Setakat bulan ini jumlah pungutan zakat diterima berjumlah RM404 juta berbanding RM372 juta dalam tempoh Januari hingga Julai tahun lalu.

"Begitu juga jumlah pembayar zakat fitrah menerusi dalam talian menunjukkan peningkatan iaitu 345,000 pembayar berbanding tahun lalu hanya 176,000 orang," katanya.

Katanya, pihaknya mensasarkan jumlah pungutan zakat berjumlah RM700 juta sehingga hujung tahun ini.

"Jumlah kutipan zakat tahun ini diharap lebih baik berbanding tahun lalu iaitu hanya RM683 juta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:47 PM