Penerima sumbangan kewangan merupakan 20 Pelajar asnaf , B40 serta guru pendidikan pada majlis pelancaran Jihad Pendidikan di KVERTS. Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS) hari ini bagi membantu golongan yang memerlukan. FOTO ROHANIS SHUKRI
Penerima sumbangan kewangan merupakan 20 Pelajar asnaf , B40 serta guru pendidikan pada majlis pelancaran Jihad Pendidikan di KVERTS. Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS) hari ini bagi membantu golongan yang memerlukan. FOTO ROHANIS SHUKRI
Muhamad Lokman Khairi


Kuala Lumpur: Bagi memastikan generasi muda memahami kepentingan berzakat, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen Jihad Pendidikan yang membabitkan pelajar, hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, kempen itu untuk memantapkan pemahaman pelajar dan guru mengenai Rukun Islam Ke-4 dengan pelancaran dibuat di Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS) di sini.

"Ibu bapa kita dulu selalu didik kita supaya jaga solat semasa hantar anak-anak belajar, namun terlupa ajar anak mengenai tuntutan zakat setelah memasuki alam pekerjaan.

"Walaupun pelajar belum layak mengeluarkan zakat, pendidikan adalah senjata yang ampuh untuk pembangunan dan kesedaran zakat di Malaysia.

"Dengan adanya Jihad Pendidikan, semoga anak-anak di hadapan ini menjadi pembayar zakat setelah bekerja nanti," katanya pada majlis pelancaran kempen itu yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kanan Kluster Pembangunan Kurikulum dan Program TVET, Zulkernai Fauzi dan Pengarah KVERT Setapak, Faridah Akhma Zulkifli.

Beliau juga berkongsi kisah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang pernah menjadi penerima zakat ketika zaman persekolahannya.

"Kini beliau menjadi susuk penting negara dalam berdepan pandemik Covid-19 dan seorang pengeluar zakat," katanya.

Pada majlis itu, PPZ-MAIWP turut menyampaikan bantuan kepada 250 pelajar asnaf dan B40, surau sekolah serta kolej berjumlah RM60,000.

Selain Jihad Pendidikan, Mohammed berkata, PPZ-MAIWP turut menggerakkan kempen Jom Potong yang menyasarkan pemotongan zakat pendapatan secara bulanan yang diselaras dengan pembayaran cukai bulanan (PCB) sehingga 31 Disember ini.

Mereka yang menyertai Jom Potong berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah, antaranya pakej ziarah Al-Aqsa, barangan elektrik, telekung eksklusif dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 1:54 PM