MUSTAPA (kiri) menyerahkan buku ulang tahun Harian Metro kepada Jaafar sambil disaksikan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar.
MUSTAPA (kiri) menyerahkan buku ulang tahun Harian Metro kepada Jaafar sambil disaksikan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Dengan bilangan 793 terbitannya sepanjang 39 tahun sejak 1978, Gila-Gila muncul antara komik tertua di Asia Tenggara dan masih kekal relevan biarpun di sebalik gelombang teknologi media dalam talian.

Perkembangan dunia digital yang menyebabkan beberapa komik tempatan lain terpaksa gulung tikar, Gila-Gila masih mampu bertahan dan meneruskan evolusi merentasi zaman.

Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd yang juga pelopor majalah humor tanah air, Jaafar Taib optimis masa depan penggiat komik dan menyifatkan era kegemilangan komik ketika 1980 dan 1990-an boleh dicapai, namun memerlukan evolusi.

“Saya akui era komik melalui kemerosotan apabila dulu kami mampu mencecah edaran 400,000 naskhah sebulan namun kini ia dicetak hanya 20,000 naskhah.

“Kami masih bertahan selama 39 tahun berbanding komik lain yang berkubur berikutan muncul teknologi baru,” katanya di pejabat Harian Metro (HM), di sini, semalam.

Terdahulu, Jaafar bertemu Pengarang Kumpulan HM Datuk Mustapa Omar.

Menurutnya, jika dulu Gila-Gila diterbitkan dua kali sebulan, tetapi sejak empat tahun lalu ia hanya dikeluarkan sebulan sekali dengan keadaan pasaran jualan penerbitan buku yang merosot.

“Gila-Gila melahirkan ratusan kartunis popular negara dan sambutan Hari Kartunis pada Sabtu ini dianggap pengiktirafan kepada golongan seperti kami yang berasa dihargai dalam masyarakat,” katanya.

Katanya, Gila-Gila diakui sebagai pencetus fenomena baru satu ketika dulu kerana menjadi hiburan penting pembaca, selain melahirkan kartunis berwibawa.

“Saya pasti ramai peminat Gila-Gila akan terkesan dengan kewujudan Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani, Tasik Perdana yang secara rasmi dibuka Sabtu ini,” katanya.

Jaafar berkata, peminat komik boleh berkunjung
ke RKKM untuk melihat komik dihasilkan orang lama yang sarat dengan mesej berguna diukir pada kanvas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 4:19 AM