HASIL usaha Rossem, berdirilah BKR.
HASIL usaha Rossem, berdirilah BKR.
PENGUNJUNG begitu teruja melihat pameran di BKR.
PENGUNJUNG begitu teruja melihat pameran di BKR.
ROSSEM memberi penerangan kepada pengunjung.
ROSSEM memberi penerangan kepada pengunjung.
Oleh Rodly Fadly

Karismanya sebagai pelukis kartun tidak perlu dipertikaikan kerana seawal usia remaja sehingga sekarang, 64 tahun, Rossem atau nama sebenar Rosedi Semail tidak pernah lelah memperagakan bakatnya.

Walaupun namanya tidak segah Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat, sumbangan Rossem kepada dunia kartun tanah air memang besar. Melalui watak Konstabel Jabit, dia melontarkan kritikan sosial dan sinis isu masyarakat.

Kini, Rossem mempertingkatkan perjuangannya dengan mewujudkan Balai Kartun Rossem (BKR). Ia balai kartun pertama di negara ini yang dilancarkan pada 21 April 2014.

Terletak di Lot 1976, Peringat, Kota Bharu, Kelantan, BKR ialah muzium mini dan perpustakaan yang menghimpun kartun karya kartunis Malaysia daripada era Lat sehiggalah kartunis era moden.

Malah, ia turut menjadi gedung menyimpan komik lama dan buku seawal era sebelum merdeka, antara­nya komik tulisan Jawi hasil karya pelukis tersohor tahun 1950-an, Allahyarham Saidin Yahya.

“Idea menubuhkan balai kartun ini kerana minat saya mengumpul karya kartun dan komik sejak kanak-kanak. Semua buku kartun dan komik yang saya beli, saya simpan lalu rumah saya seperti sebuah gedung menyimpan buku.

“Ketika itu terfikir untuk membina premis khas untuk menyimpan karya lama ini. Saya cadang idea itu kepada Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan, alhamdulillah mereka setuju,” katanya.

Bermodalkan RM40,000 peruntukan yang disediakan kerajaan negeri, Rossem membina galeri satu tingkat ala kampung di tanah miliknya, berhadapan rumah pusakanya.

Di bahagian hadapan atau ruang tamu ialah pameran lukisan Rossem dan pelukis tempatan lain.

Di sebuah bilik pula dipamerkan petikan komik lama daripada era 1950-an hingga 1980-an.

Rossem turut menyediakan bilik khas untuk menyimpan buku, majalah kartun dan komik, antaranya yang diterbitkan pada tahun 1950-an dan 1960-an dalam tulisan Jawi.

Lat turut mengagumi usaha Rossem mengumpul komik lama yang dihasilkan sebelum kemerdekaan.

“Hebat ni. Macam mana Rossem boleh dapat?” tanya Lat selepas membelek-belek koleksi komik lama di BKR, semasa hadir pada hari pelancaran, baru-baru ini.

“Buku dan komik bertulisan Jawi inilah khazanah yang sangat berharga dan perlu dijaga sebagai warisan.

“Ramai generasi muda yang meminati kartun dan komik, tapi tidak me­ngenali sejarah perkembangannya kerana lebih terdedah dengan komik luar.

“Malaysia mempunyai sejarah komik dan kartun yang panjang dan unik, dari 1950-an sehingga sekarang, malah melahirkan ramai pelukis komik dan kartunis seperti Saidin Yahya, Abd Halim Teh, Raja Hamzah, Rizalman, Yamin Daud, Datuk Lat, Nan, Jaafar Taib, Kerengge dan Don,” katanya.

Keseluruhannya, BKR mengumpul dan menyimpan lebih 1,000 komik, majalah kartun dan buku selain simpanan peribadi termasuk sumbangan rakan termasuk Rudi Mahmood, seorang pengkaji sejarah komik Malaysia.

Sejak dibuka pada April tahun lalu, ramai me­ngunjungi balai kartun itu termasuk penggiat seni seperti pelukis, pelakon, sasterawan dan tokoh akademik. Ia turut menjadi rujukan pelajar pengajian tinggi untuk menyiapkan tesis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 2:12 PM