Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: Kehilangan kedua-dua belah kaki bukan penghalang buat Siti Nuraisyah Sahrin, 14, atau panggilan mesranya Ecah menyertai pemilihan Kejohanan Powerlifting Sirkit Akhir Kebangsaan 2017 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, semalam.

Kemalangan dialami pada 18 Januari tahun lalu akibat digilis lori membawa muatan tanah dan mengubah kehidupannya tidak melemahkan semangat Ecah untuk terus bergiat aktif dalam sukan angkat berat.

Pada pemilihan kali ini, Ecah mendapat tempat ketiga dalam sukan angkat berat wanita kategori 35 hingga 45 kilogram (kg) dalam kejohanan itu.

“Pemilihan hari ini akan menentukan sama ada saya layak mara ke Sukan SEA pada 19 hingga 31 Ogos depan,” katanya.

Ecah berkata, dengan sokongan jurulatihnya, Muhammad Nor Arif Abdullah, 47, yang juga bekas atlet negara, dia bersedia mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk pemilihan kejohanan ini.

“Sebelum kejohanan bermula, saya sudah menjalani latihan selama empat bulan bawah dikendalikan Muhammad Nor.

“Untuk kejohanan hari ini, saya sudah bersedia untuk bertanding dan pingat perak yang saya raih pada 17 Disember lalu turut menjadi pembakar semangat kepada saya,” katanya.

Pada tahun lalu, Ecah yang mewakili Selangor berjaya meraih pingat perak dalam Kejohanan Para Powerlifting Sirkit Ketiga bagi kategori wanita 50 kilogram (kg) selepas berjaya melepasi angkatan 37 kg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 7:50 AM
ECAH menjalani latihan bagi  sesi pemilihan untuk bertanding dalam acara angkat berat peringkat kebangsaan.
ECAH menjalani latihan bagi sesi pemilihan untuk bertanding dalam acara angkat berat peringkat kebangsaan.