JONG YEE KHIE
JONG YEE KHIE
Haika Khazi


ATLET angkat berat para negara, Jong Yee Khie mengimpikan untuk melakar sejarah dengan menang pingat emas dalam acara powerlifting kategori heavyweight 72 kilogram (kg) ke atas di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April ini.

Justeru, pemenang pingat gangsa di Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu sedang giat menjalani latihan intensif di bawah kendalian ketua jurulatih Powerlifting Negara, Jamil Adam di bawah Program Podium bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia menjelang temasya 2018, tidak lama lagi.

“Saya yakin mampu capai sasaran dan emas di Gold Coast nanti kerana sebelum ini saya pernah menang gangsa di Sukan Komanwel Glasgow 2014 biarpun tidak meletakkan sebarang sasaran awal.

“Bagaimanapun, saya tetap kena bersiap sedia menghadapi saingan peserta lain terutama atlet Nigeria yang menduduki ranking lebih baik berbanding saya ketika ini.

“Tindakan ini perlu kerana saya bukan hanya mahu menang emas, malah memecahkan rekod peribadi dengan melakukan angkatan melebihi 215kg ketika beraksi di Sukan Komanwel 2018 nanti,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan, sebentar tadi.

Andai memenangi emas di Sukan Komanwel 2018, ia akan menjadi pembakar semangat kepada Yee Khie yang mahu menyinar di Sukan Asia Jakarta 2018, Ogos nanti.

Yee Khie menyumbang gangsa dalam acara powerlifting kategori heavyweight 72.1 kilogram (kg) lelaki di Sukan Komanwel 2014 menerusi angkatan 178kg. Pingat emas acara itu dimenangi Abdul Azeez Ibrahim dari Nigeria dengan angkatan 197kg manakala perak menjadi milik Rajinder Rahelu dari India, 180.5kg.

Kejayaan itu nyata membakar semangat Yee Khie untuk menang emas acara powerlifting kategori 97kg di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) tahun lalu selepas memperbaharui rekod kejohanan tiga kali dengan 202kg pada percubaan pertama dan 210kg (kedua) dan 215kg (ketiga) untuk mengatasi catatan lama 200kg yang dibuatnya Singapura tiga tahun lalu.

Ketika ini, Yee Khie menduduki ranking ketujuh dunia dalam acara powerlifting kategori bawah 97kg selepas kejayaan menjulang bebanan seberat 208kg di Kejohanan Powerlifting Dunia di Mexico City, 7 Disember lalu.

Pesaing utama Yee Khie, Abdul Azeez sedang mengalami kecederaan dan berkemungkinan besar tidak menyertai Sukan Komanwel 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 4:41 PM