KEADAAN jenazah  mangsa yang ditutup kain putih di tengah jalan.
KEADAAN jenazah mangsa yang ditutup kain putih di tengah jalan.
myMetro

Bentong: Seorang kontraktor terbunuh selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas dan melanggar tembok di Kilometer 43.7, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bukit Tinggi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi, mangsa, Kamarul Asraff Hamdan, 32, dari Lorong Pulau Upeh Solok, Melaka meninggal dunia di tempat kejadian manakala motosikal jenis Ducati Monster miliknya terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Nor Yusof Ali berkata, pemandu Perodua Myvi Norazidah Abd Razak, 32, berasal dari Kampung Sementah, Lanchang, Temerloh dan bekerja di Genting Highlands, dekat sini, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila Kamarul yang menunggang dalam perjalanan menghala ke Bentong dari Kuala Lumpur terbabas melanggar tembok batu ketika mengambil selekoh,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian terpelanting dan terjatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta dipandu Norazidah yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Bentong.

Katanya, siasatan turut mendapati motosikal berkuasa tinggi milik mangsa terbakar keseluruhan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong, di sini, untuk bedah siasat manakala motosikal bersama Perodua Myvi berkenaan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

“Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan jalan kering namun berselekoh.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 11:15 AM