PENUNGGANG motosikal maut selepas dilanggar pemandu Perodua Myvi yang memandu dalam keadaan mabuk. FOTO ihsan polis
PENUNGGANG motosikal maut selepas dilanggar pemandu Perodua Myvi yang memandu dalam keadaan mabuk. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penunggang motosikal maut selepas dilanggar pemandu mabuk di Jalan Kuching dari arah Jalan Kinabalu ke Selayang, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian 1.10 pagi itu, kemalangan membabitkan motosikal Demak EX90 dan Perodua Myvi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 40 tahun dilanggar dari arah belakang oleh Perodua Myvi di laluan sama.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tembok penghadang jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu kereta berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan ditangkap dan ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:32 PM