ANTARA permainan judi    Internet yang popular dalam kalangan pemain.
ANTARA permainan judi    Internet yang popular dalam kalangan pemain.
SEBAHAGIAN GRO warga asing yang ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Plaza Puchong.
SEBAHAGIAN GRO warga asing yang ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Plaza Puchong.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Digelar ‘kupu-kupu’ berikutan aktif mencari pelanggan dari meja ke meja lain.

Itu kegiatan maksiat dilakukan pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan China di sebuah pusat hiburan di Plaza Puchong, di sini bagi menarik perhatian pelanggan.

Difahamkan kegiatan pelacuran ditawarkan premis itu pernah dipatahkan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hasil serbuan Oktober lalu.

Bagaimanapun, pengusaha premis hiburan itu masih berdegil dan menawarkan khidmat GRO untuk dilanggan.

Premis itu bagaimanapun diserbu Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman melalui operasi Op Noda jam 10.30 malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya menahan seramai 45 individu termasuk 39 GRO warga Vietnam dan China dalam serbuan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan itu beroperasi kurang setahun. Premis itu hanya mempunyai lesen premis namun tidak memiliki lesen operasi hiburan.

“Pihak kami turut merampas wang tunai sebanyak RM8,510, resit pembayaran pelanggan, monitor serta dekoder mikrofon. Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, pegawai dan anggota STAGG Bukit Aman turut melakukan serbuan ke atas 10 premis di sekitar daerah Kajang, Puchong, Rawang, Serdang dan Klang.

Khairi berkata, operasi Op Dadu Online bermula jam 9 malam itu menahan seramai 16 individu berusia 24 hingga 41 tahun yang terbabit sebagai kaki judi dan pekerja premis.

“Antara premis yang diserbu adalah di Taman Prima Saujana, Taman Meranti Jaya, Jalan Bandar Rawang, Bandar Rinching, kawasan perusahaan Sri Kembangan, Taman Perindustrian Axisx, Bandar Bukit Tinggi dan Bandar Parkland di Pelabuhan Klang.

“Pihak kami merampas wang tunai RM1,037, 124 unit komputer yang dijadikan permainan judi internet, 13 unit modem, 13 router serta satu alat kawalan pintu utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:58 AM