Siti Fatimah Hassan

Gombak: “Mungkin untuk tempoh beberapa hari ini kami sekeluarga tidak akan mencuci pakaian disebabkan berlakunya gangguan bekalan air ini. Air simpanan juga terhad jadi kami perlu lebih berjimat,” kata seorang peniaga, Abdul Ghani Abdullah, 46.

Dia adalah antara 3.9 juta pengguna di 814 kawasan di Lembah Klang yang terjejas bermula semalam berikutan kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Ijok, Kuala Selangor.

Menurut Abdul Ghani, dia dimaklumkan oleh adik ipar yang bertugas di Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bahawa akan berlaku gangguan bekalan air menyebabkannya membuat persediaan menyimpan dalam semua tong serta bekas di rumahnya.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini juga, dia dan keluarga perlu mencatu air simpanan itu supaya ia mencukupi untuk kegunaan sehingga bekalan pulih seperti biasa.

“Baru semalam (kelmarin) saya diberitahu oleh adik ipar yang bekerja di SYABAS bahawa akan berlaku gangguan bekalan air. Disebabkan itu, saya terus menyimpan air sejak malam supaya boleh digunakan untuk tempoh ketiadaan air.

“Memang agak runsing kerana air keperluan asas dan tambahan pula semua enam anak berada di rumah sempena cuti sekolah menyebabkan penggunaan air banyak berbanding biasa.

“Namun, buat masa ini mungkin kita tidak mencuci pakaian kerana mahu berjimat sebelum ia pulih seperti biasa,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan seperti Kampung Kuantan dan Taman Sri Gombak, di sini, mendapati beberapa perniagaan khususnya kedai makan turut terkesan dengan ketiadaan air.

Seorang peniaga, Dewi Hatiji, 50, berkata, dia hanya menyimpan air hanya untuk digunakan membuat air minuman dan makanan di kedainya memandangkan masih terdapat bekalan dalam tangki di rumah.

“Memandangkan air dalam tangki masih ada, saya cuma menyimpan untuk kegunaan membuat minuman dan makanan di kedai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 9:41 AM
 PUSAT cuci kereta di Seksyen 19 Petaling Jaya, beroperasi seperti biasa menggunakan tangki simpanan air.
PUSAT cuci kereta di Seksyen 19 Petaling Jaya, beroperasi seperti biasa menggunakan tangki simpanan air.
PENIAGA membasuh mangkuk menggunakan air tadahan yang disimpan sebelum berlaku gangguan bekalan air di gerainya Kampung Malaysia Raya.
PENIAGA membasuh mangkuk menggunakan air tadahan yang disimpan sebelum berlaku gangguan bekalan air di gerainya Kampung Malaysia Raya.