KEADAAN air yang keruh namun masih lagi boleh digunakan. FOTo IHSAN PEMBACA
KEADAAN air yang keruh namun masih lagi boleh digunakan. FOTo IHSAN PEMBACA
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang yang dijangka berdepan gangguan bermula hari ini didapati masih ada meskipun perlahan setakat tengah hari.

Penduduk Kampung Changkat, Gombak, Nurfaseha Tarmizi, 33, berkata, kawasan perumahannya antara lokasi yang tersenarai berdepan gangguan bekalan dan aliran air di rumahnya agak perlahan dan keruh sejak semalam tetapi masih boleh digunakan untuk kegunaan harian.

"Keadaan air hari ini masih sama tetapi tidak sekeruh semalam dan alirannya juga agak perlahan.

"Saya akan meletakkan kain bersih pada paip untuk menapis air supaya jernih sedikit dan walaupun keruh tetapi air tidak berbau.

"Tetapi saya tetap menyediakan bekalan dengan menyimpan satu tong air bersih untuk kegunaan keluarga selain air minuman. untuk membasuh pakaian, air paip masih boleh digunakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peniaga nasi ayam di Apartment Putra Ria, di sini, Mohd Fikri Che Bahas, 31, berkata, setakat jam 12 tengah hari, bekalan air di kawasan mereka masih baik dan perniagaannya juga beroperasi seperti biasa.

Katanya, selepas menerima notis pemberitahuan gangguan bekalan air dua hari lalu, dia sudah menyimpan dua tong besar bekalan air bersih untuk kegunaan di gerai.

"Setakat ini air masih ada biarpun perlahan tetapi tidak menjejaskan operasi gerai.

"Kami memasak nasi ayam juga seperti biasa dan gangguan bekalan air tidak menjejaskan kerja kerana kami masih boleh memasak serta membasuh peralatan seperti biasa.

"Kalau bekalan air masih sama, kami akan membuka gerai esok dan hari seterusnya tetapi jika sekejap lagi bekalan air terganggu, kami akan tutup operasi sementara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Nuri, U5 Subang Bestari Izwan Rozlin berkata, air di rumahnya masih laju pagi tadi sebelum agak perlahan di sebelah tengah hari.

Katanya, dia juga sudah menyimpan bekalan air bersih dalam dua tong dan enam baldi selain turut menyimpan air minuman untuk kegunaannya empat beranak.

"Isteri maklumkan bekalan air masih ada, cuma bermula tengah hari sudah agak perlahan tetapi tidak keruh.

"Sebelum ini kawasan rumah kami tersenarai lokasi terjejas gangguan bekalan air tetapi selalunya air akan tetap ada dan berharap kali ini juga sama," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan kerja penambahbaikan aset Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 bermula jam 9 pagi tadi.

Proses penyenggaraan dan penggantian aset itu dijangka siap pada 7 malam menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Air Selangor memaklumkan, pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat bermula jam 3 pagi esok selepas sistem agihan utama bekalan distabilkan.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 2:26 PM