PEKERJA gerai makan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur mencuci peralatan memasak, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
PEKERJA gerai makan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur mencuci peralatan memasak, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
Mohamad Hussin


MASALAH gangguan bekalan air di kebanyakan kawasan di Lembah Klang sudah pulih secara berperingkat walaupun ia sebelum ini dijangka berlaku sehingga Sabtu ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati bekalan air sudah mula pulih seperti biasa mulai 8 pagi hari ini.

Malah, dapat dilihat aktiviti perniagaan di beberapa premis seperti cuci kereta, restoran, sekolah dan rumah berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, ada peniaga dan penduduk tetap dalam keadaan berjaga-jaga dan menyimpan bekalan air secukupnya kerana bimbang gangguan itu berlaku lagi.

Peniaga makanan, Ruminah Abu, 45, berkata dia tetap menyimpan bekalan air kerana bimbang berlaku gangguan semula walaupun bekalan air sudah pulih.

“Semalam (kelmarin) bekalan air memang tiada langsung, tetapi saya ada menyimpan bekalan secukupnya kerana sebagai peniaga makanan berlauk, saya memerlukan sumber air yang banyak.

“Alhamdulillah, pagi ini saya buka paip air memang laju dan tiada gangguan setakat ini. Bagaimanapun, saya tetap menyimpan bekalan air untuk menampung sehingga Sabtu ini.

“Saya berterima kasih kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kerana berjaya menyelesaikan masalah gangguan bekalan air dengan cepat walaupun tempoh gangguan diberikan sehingga Sabtu ini,” katanya yang ditemui di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, dia tetap menggunakan pinggan polisterin kepada pelanggan sehingga masalah gangguan bekalan air pulih sepenuhnya.

Katanya, bagi minuman pula, dia tidak menyediakan air lain selain daripada air mineral kepada pelanggan kerana tidak mahu menyulitkan keadaan apabila berdepan dengan gangguan bekalan air.

“Ini kerana bekalan air disimpan ini hanya digunakan untuk membasuh bahan dan memasak saja,” katanya.

Seorang pemilik kedai mencuci kereta, Halim Mohamad, 56, berkata dia gembira apabila perniagaannya sudah boleh beroperasi seperti sedia kala.

“Sebelum ini, premis saya tidak menjalankan kerja mencuci kenderaan berikutan bekalan air terganggu.

“Saya terpaksa menutup operasi selama sehari kerana tiada bekalan air.

“Memang lega apabila air sudah ada semula. Saya memuji tindakan pantas pihak Air Selangor kerana menyalurkan air secara berperingkat. Sebagai pengguna, kita faham kadang-kadang terpaksa berdepan dengan situasi gangguan bekalan air mungkin disebabkan kerja menaik taraf atau penyelenggaraan,” katanya.

Gangguan bekalan air berlaku di Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula semalam susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Air Selangor melaksanakan kerja penyelenggaraan itu bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik, sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Henti tugas LRA SSP2 menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam kepada 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:28 PM