Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kebanyakan peniaga di sekitar Lembah Klang terus resah dengan ketiadaan bekalan air sejak semalam hingga ada yang terpaksa menutup perniagaan seketika sehingga bekalan air pulih semula.

Namun, ada juga yang dalam kalangan peniaga meneruskan perniagaan di sebalik kesukaran dihadapi dengan mencari alternatif lain termasuk menyediakan cawan plastik dan polistirena serta pinggan beralaskan plastik kepada pelanggan.

Pemilik Kafe Enak Rasa di Wangsa Melawati, Aidil Yasin, 46, berkata, dia terpaksa menggunakan kaedah lain untuk menghidangkan makanan tanpa perlu mencuci pinggan serta cawan memandangkan air simpanan tidak mencukupi untuk keperluan operasi perniagaan.

Katanya, lebih dikesali apabila bekalan air yang dimaklumkan akan pulih semula tidak berlaku seperti yang dijadualkan, malah dia kini buntu untuk mendapatkan bekalan air kerana kebanyakan kawasan berhampiran turut terjejas.

“Semalam (kelmarin), kami di sini menggunakan air simpanan dan air tangki tetapi ia tidak cukup apabila ketiadaan air berlarutan. Sepatutnya bekalan air akan diterima semula seperti dijadualkan mengikut kawasan.

“Lebih dikesali apabila lori tangki datang menghantar air pada jam 1 pagi dan ketika itu kami semua sudah kepenatan. Waktu penghantaran air tidak begitu sesuai sekiranya benar mereka ingin membantu.

“Apabila terdapat gangguan air, pelanggan juga berkurangan. Syarikat air sepatutnya lebih bersistem ketika berlaku masalah seperti ini, malah panggilan ke talian PUSPEL juga tidak berjawab,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di sekitar kawasan itu turut mendapati ada pengusaha restoran terpaksa mencari sumber air di tempat lain untuk digunakan di kedai masing-masing.

Seorang lagi peniaga, Zali Rahmat, 45, berkata, dia yang kebiasaannya akan mula berniaga jam 11 pagi setiap hari terpaksa menutup perniagaan semalam kerana tidak mempunyai bekalan air.

“Situasi ini agak teruk bagi saya kerana bekalan air terputus sejak semalam (kelmarin). Semua simpanan air sudah habis digunakan untuk berniaga menyebabkan saya terpaksa tutup kedai hari ini,” katanya.

Seramai 3.9 juta pengguna di 814 kawasan di Lembah Klang terjejas bermula kelmarin berikutan kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Ijok, Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 9:51 AM
KAKITANGAN Kafe Enak Rasa mengambil bekalan air bersih dari rumah rakan perniagaan majikanya di Pangsapuri Keramat Jaya 2.
KAKITANGAN Kafe Enak Rasa mengambil bekalan air bersih dari rumah rakan perniagaan majikanya di Pangsapuri Keramat Jaya 2.
PELANGGAN menjamu selera menggunakan plastik pakai buang.
PELANGGAN menjamu selera menggunakan plastik pakai buang.
PIHAK Kafe Enak Rasa terpaksa menggunakan peralatan makanan plastik pakai buang disebabkan gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
PIHAK Kafe Enak Rasa terpaksa menggunakan peralatan makanan plastik pakai buang disebabkan gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.