Nor Azura Abdul Jalil

Ampang: Penduduk yang ‘penat’ dengan masalah gangguan bekalan air di Selangor mahu perkara itu diselesaikan dengan segera dan tidak berulang lagi.

Khairiza Khalid, 43, dari Taman Melur, dekat sini, berkata, ketiadaan bekalan air menyebabkan banyak kerja yang tertangguh terutamanya bagi suri rumah sepertinya yang perlu melakukan rutin harian termasuk memasak dan mencuci pakaian.

“Saya ada menyimpan air, tapi tidak banyak, mungkin hanya cukup untuk satu atau dua hari saja. Saya berharap sangat isu ini tidak berpanjangan dan dapat diatasi segera,” katanya.

Bagi Faridah Mat, 45, pula masalah itu mengganggu urusan seharian, tambahan pula dia mempunyai anak yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Saliha berkata, dia sedikit lega dengan perkembangan terbaru bahawa bekalan air mula diagihkan ke kawasan yang terjejas.

“Ia satu perkembangan positif dan saya berharap kami mendapat semula bekalan air yang bersih,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan sekitar Ampang dan Cheras yang dijadualkan mendapat bekalan air semalam, mendapati penduduk setempat beratur panjang sambil membawa tong dan bekas untuk mengisi air daripada lori tangki air.

Sementara itu, seorang penduduk di Pandan Indah, Rahimi Harun, 41, meminta pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menambah jumlah lori tangki air ke kawasan mereka bagi menampung permintaan hampir 1,000 penduduk flat berkenaan meliputi tujuh blok.

Menurutnya, dengan hanya satu lori tangki air pada satu-satu masa, menyebabkan penduduk terpaksa beratur panjang dan lebih malang sekiranya belum sampai giliran mereka, bekalan air sudah habis dan perlu menunggu perjalanan lori yang seterusnya.

“Bantuan bekalan air menerusi lori tangki tidak mencukupi menyebabkan ada antara penduduk terpaksa mengambil air di kawasan lain setiap hari.

“Saya juga meminta satu lori tangki air khas untuk warga emas saja. Kasihan mereka kena beratur panjang. Itu belum lagi yang terpaksa mengangkut air ke rumah yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah ketika dihubungi berkata, penduduk di kawasan yang masih belum pulih bekalan air boleh memohon bekalan air.

“Mereka boleh menelefon atau menghantar SMS ke 15300 dan nyatakan alamat premis. Kami akan terus membekalkan air bantuan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 10:05 AM
Asmi Zara Dzara Aleesya membantu bapanya mengangkut bekalan air bersih.
Asmi Zara Dzara Aleesya membantu bapanya mengangkut bekalan air bersih.
Penduduk mengambil bekalan air daripada lori tangki SYABAS apabila kawasan sekitar mengalami gangguan bekalan air.
Penduduk mengambil bekalan air daripada lori tangki SYABAS apabila kawasan sekitar mengalami gangguan bekalan air.