KAKITANGAN swasta, Mohd Fazli Kamarudin mengisi air lebih awal di dalam tong bagi menghadapi gangguan bekalan air. FOTO Faliq Lajim
KAKITANGAN swasta, Mohd Fazli Kamarudin mengisi air lebih awal di dalam tong bagi menghadapi gangguan bekalan air. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


PENDUDUK di Shah Alam dan Klang bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) esok.

Pelbagai persediaan dibuat oleh penduduk yang terjejas antaranya membeli bekas atau tong untuk menyimpan air dan membeli air minuman dalam kuantiti banyak.

Peniaga, Mohd Muzamir Mahyuddin, 33, yang menetap di Seksyen 8, Shah Alam, berkata dia membeli tong air 70 gelen yang berharga RM145 bagi kegunaan isteri dan anaknya.

“Walaupun hanya bertiga, saya tetap membuat persiapan untuk menghadapi segala kemungkinan kerana kami pernah air tidak mencukupi sebelum ini.

“Justeru, kali ini saya membeli yang lebih besar. dan ia mudah digunakan jika berlaku lagi gangguan bekalan air pada masa akan datang,” katanya.

Bagi pembantu penyelidik universiti awam, Normi Idayu Ishak, 30, dia membuat persediaan dengan membeli air minuman dalam kuantiti yang banyak.

“Selain menadah air dalam baldi, saya beli air banyak kerana ruangan rumah yang terhad.

“Bekalan air itu turut disimpan dalam kereta bagi kemudahan jika memerlukannya pada saat kecemasan,” katanya.

Tinjauan di Klang mendapati segelintir penduduk turut sudah membuat persiapan dengan mengisi air di dalam tong sejak malam tadi.

Bagi kakitangan swasta, Mohd Fazli Kamarudin, 38, dia membuat persiapan lebih awal supaya tidak tergesa-gesa esok.

“Mengikut jadual, kawasan saya iaitu Kampung Pendamar akan mengalami gangguan bekalan air bermula pagi esok sehingga malam Sabtu.

“Jika diikutkan, tangki di rumah agak besar. Tambahan pula, ahli keluarga saya tidak ramai dan penggunaan air selalunya tidak banyak.

“Namun, kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengisi air di dalam tong yang sedia ada. Selain itu, kami mengambil langkah berjimat cermat penggunaan air dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain Shah Alam dan Klang, gangguan bekalan air dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat serta Kuala Selangor.

Pelaksanaan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu segera dibuat bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Henti tugas LRA SSP2 itu akan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman memaklumkan sebanyak 106 lori tangki air akan dihantar ke kawasan terjejas.

Bagi kes kecemasan yang memerlukan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka selama 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 1:55 PM