SHEIKH Ahmad Dusuki  (kiri) bersama Dr Mohd Zulkifli  (kanan) beramah mesra dengan Mohd Azmi, semalam.
SHEIKH Ahmad Dusuki (kiri) bersama Dr Mohd Zulkifli (kanan) beramah mesra dengan Mohd Azmi, semalam.
Attirmidzie Rahman


Pasir Mas: Kesempitan hidup dan tidak mampu membeli kerusi roda membuatkan seorang pemuda yang menghidap Cerebral Palsy di Rumah Sejahtera Pondok Paya Ular, Bunut Susu, di sini, berkurung di dalam rumah hampir setiap masa kerana sukar untuk bergerak.

Namun penderitaan Mohd Azmi Awang, 42, berakhir semalam apabila menerima sebuah papan beroda mudah alih yang membolehkan dia bergerak dengan mudah.

Papan itu direka khas untuknya dengan kos RM3,500 yang ditanggung Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Penyerahan papan beroda itu dibuat semalam oleh Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad yang turut disertai Pensyarah Kanan Terapi Carakerja, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Sheikh Ahmad berkata, pihaknya berbincang dengan USM untuk mencipta sebuah papan beroda mengikut keperluan Mohd Azmi selepas mengetahui penderitaannya yang disiarkan Harian Metro, baru-baru ini.

“Mulanya dia menginginkan sebuah kerusi roda, tapi selepas melihat keperluannya secara lanjut, kerusi roda bukanlah alat yang sesuai untuknya mudah bergerak.

“Dengan kepakaran USM dan hospitalnya, disediakan papan beroda ini dengan lapik kusyen kulit yang lembut dan selesa untuknya,” katanya, semalam.

Ibu Mohd Azmi, Wan Zainab Wan Mamat, 76, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu menderita penyakit gangguan saraf sejak lahir.

“Selama membesarkannya, harapan saya hanya mahu melihat dia keluar dan bergaul seperti orang lain. Alhamdulillah, impian itu terlaksana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 9:32 AM